Ahad, 3 April 2011

MENUNTUT ILMU

Maksud hadis, "Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi muslim lelaki dan wanita

Untuk ke depan, elok sesekali kita imbas ke belakang. Lihat pada apa yang telah kita tinggalkan. Kita tidak akan menempuhnya lagi. Kita kini bergerak ke depan, untuk menyahut seruan kejayaan.

Gelombang kehidupan itu kadang-kala kecil, kadang-kala besar. Kita akan ditimang gelombang pada sepanjang kehidupan kita. Oleh itu, janganlah kita takut dan bimbang kerana kita akan timbul selagi kita berpegang kepada agama Allah.
Dalam menggarap kejayaan, kita seharusnya tidak cepat berputus asa. Bayi yang baru belajar berjalan biasanya kerap terjatuh. Tetapi ia akan berusaha untuk bangun dan berjalan kembali. Orang dewasa yang ingin memajukan dirinya perlu mempunyai jiwa seorang bayi. Jangan sesekali berputus asa dalam mengejar impian. Mungkin kita tidak ingat betapa gembiranya ibu bapa kita atas kejayaan-kejayaan kita yang lampau.

Lantaran itu, kembalikanlah semangat yang berkobar-kobar itu kerana kita tentu tidak sanggup menyerahkan kegagalan kita terhadap ibu bapa kita yang telah banyak berkorban buat kita.Sesungguhnya, kesempurnaan manusia ada tiga perkara, ilmu pengetahuan, pengalaman dan pemerhatian iaitu belajar pada alam. Dari sehari ke sehari, kita melangkah dengan semakin gah memijak bumi.

Dari sehari ke sehari jualah kedua-dua ibu bapa kita semakin meningkat usia dan terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka yang pastinya tidak terbalas oleh kita. Hargailah kehadiran mereka di sekeliling kita sementara mereka masih ada kerana masa itu tidak pernah menanti kita.

Nasihat Lukmanul Hakim terhadap anaknya, "Wahai anakku, bergaullah dengan golongan berilmu dan rapatkanlah kedua lututmu, kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah, sebagaimana Allah menghidupkan tanah yang mati dengan hujan lebat. "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan